CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Selasa, 2 April 2013

Membesarkan kerak nasi

MINGGU 5 (5)

'Membesarkan kerak nasi'  merupakan  peribahasa Melayu. Peribahasa ini membawa maksud membuat pekerjaan yang membazir. Contohnya ialah menghabiskan wang semata-mata untuk membeli telefon pintar yang mahal harganya agar dipandang  mulia oleh masyarakat.

Contoh ayat:

Rakyat Malaysia diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi.



Kerak nasi


Maksud

-Nasi yang keras yang melekat di bahagian dasar periuk. 






Hakikatnya, nasi yang sudah siap dimasak tidak akan dapat mengembang seperti bubur lagi. Oleh itu, sia-sialah bagi golongan yang berusaha untuk 'membesarkan' kerak nasi.
                                        






farah :)

Bunga dan kumbang

MINGGU 5 (4)

Dalam masyarakat Melayu 'bunga' ialah kiasan bagi golongan wanita manakala 'kumbang' pula ialah kiasan bagi golongan 'lelaki'. Bunga merupakan ciptaan Tuhan yang sangat cantik. Tidak hairanlah, masyarakat Melayu menyamakan golongan wanita sebagai 'bunga'. Golongan lelaki pula dikiaskan sebagai 'kumbang'. Kumbang sering berada berdekatan dengan bunga di taman. Berdasarkan pemerhatian orang Melayu terhadap kejadian alam, maka lahirlah peribahasa yang melibatkan 'bunga dan kumbang' seperti di bawah;



Bunga yang layu tidak diseri oleh kumbang
Maksudnya: Perawan tua tidak dipinang orang

http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=bunga&d=11




Andai ada seorang lelaki atau wanita yang baru sahaja putus cinta, rakan-rakannya pasti akan berkata begini. 'Sabar je la, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor'. 

Walau bagaimanapun, bukan isu cinta yang ingin diutarakan di sini, tetapi tentang sebuah taman bunga yang dipenuhi dengan kuntuman-kuntuman bunga yang berkembang mekar. Taman ini dipercayai terletak di negara Jepun yang menyajikan pemandangan yang sangat indah. Terdapat beratus-ratus pokok bunga yang setiap satunya mempunyai beratus-ratus kuntuman bunga. Taman ini terus mendapat perhatian pengunjung untuk menyaksikan keindahannya. Sesungguhnya taman ini membuktikan yang 'bunga bukan sekuntum'





farah :)




Isnin, 1 April 2013

Nasi air

MINGGU 5 (3)



Aisyah     : Farah, Sya teringin nak makan 'nasi air' la.
Farah      : Emmm...nasi air? (dalam hati : nasi apa tu?)
Aisyah     : Farah tahu tak 'nasi air' tu apa?
Farah      : Bubur ke? (dalam hati: moi!)
Aisyah     : Pandai pun (ketawa)


Info
Farah- berasal dari  Kedah
Aisyah- berasal dari Negeri Sembilan

Walaupun maksud makanan ini sama, namun penutur masyarakat yang berbeza negeri menggunakan istilah yang berbeza.


farah :)

Petua: 'gigit kasut'

MINGGU 5 (2)


Petua: gigitlah kasut sebelum kaki anda digigit!

Gigit kaki? Adakah anda faham tentang maksud tersirat perbuatan kasut menggigit kaki manusia? Adakah logik perkara ini berlaku?

Sebenarnya perkataan 'gigit kaki' merujuk kepada keadaan 'kaki melecet' atau 'kaki luka'. Kasut yang baru dibeli biasanya akan mengundang masalah ketidakselesaan kepada si pemakai. Keadaan kasut yang keras akan menyakitkan kaki si pemakai. Oleh itu, terdapat petua orang tua-tua agar si pemakai menggigit dahulu kasut yang baru dibeli sebelum dipakai bagi mengelakkan keadaan tidak selesa apabila memakai kasut yang baru dibeli.



Petua: gigitlah kasut sebelum kaki anda digigit!




Pesanan: Renung-renungkan dan selamat beramal!

farah :)

Subuh gajah atau subuh dinasour?

MINGGU 5 (1)

Pernahkah anda mendengar istilah 'subuh gajah' atau 'subuh dinasour' sebelum ini?
Baiklah, bagi individu yang belum pernah mendengar istilah ini, saya akan menyatakan maksud kedua-dua istilah tersebut seperti di bawah;

'Subuh gajah' atau 'subuh dinasour' ialah istilah yang lazimnya digunakan untuk merujuk kepada perbuatan individu yang lambat menunaikan solat Subuh. Mereka menunaikan solat Subuh ketika hampir-hampir habis waktu atau sudah habis waktu solat. Memandangkan solat Subuh didirikan pada waktu pagi, keadaan ini menyukarkan sesetengah pihak untuk menunaikannya. Mereka lebih rela tidur atau tidur sehingga tidak sedarkan diri walaupun waktu solat Subuh sudah pun masuk.






Subuh gajah?



ATAU







Subuh dinasour?


Yang jelas, 'gajah' atau 'dinasour' hanyalah kiasan yang digunakan oleh masyarakat untuk menggambarkan sikap mereka yang lambat menunaikan solat Subuh.


Manusia lambat solat, 'gajah' dan 'dinasour' pula yang dapat nama...


farah :)



Jumaat, 29 Mac 2013

Pesanan khidmat masyarakat


MINGGU 4 (5)

Pesanan khidmat masyarakat (Upin dan Ipin)

Watak:
1) Orang yang tidak dikenali sebagai abang
2) Kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan sebagai adik


Situasi

ABANG  :  ADIK, NAK GULA-GULA TAK?
ADIK      :  TAK NAK LA (sedang bermain)
ABANG  :  ALA, AMBIL LA...
ADIK      : HMMM...TAK NAK LA.
ABANG  : KALAU ABANG BAWA ADIK JALAN-JALAN NAK TAK?
ADIK      : ORANG CAKAP, TAK NAK...TAK NAK LA...
ABANG  : EHHH, SINI KAU!
ADIK      : ARGHHH (menjerit). TOLONG...TOLONG


Video pesanan khidmat masyarakat oleh Les' Copaque :
https://www.youtube.com/watch?v=DeLrtpJf5yY


Pesanan khidmat masyarakat

1) Ajar anak menjerit apabila diganggu orang yang tidak dikenali.
2) Ajar anak menggigit untuk menyelamatkan diri.


Pesanan ini bagus kerana menggunakan kartun menyampaikan mesejnya. Kanak-kanak mudah memahami dan tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan. Ibu bapa perlu prihatin terhadap keselamatan anak- anak semasa berada di luar kawasan rumah. Kanak-kanak memerlukan pengawasan orang dewasa semasa mereka bermain atau keluar rumah.


farah :)


Khamis, 28 Mac 2013

Jenjalan

MINGGU 4 (4)


Situasi

1) Jom gi  jalan-jalan
2) Jom gi  jenjalan



Kedua-dua situasi di atas membawa maksud yang sama iaitu 'penutur mengajak rakannya pergi jalan-jalan'. Walau bagaimanapun, persoalannya terdapat pelbagai cara individu untuk 'merosakkan' bahasa ibunda sendiri belakangan ini. Istilah 'jenjalan' merupakan kata ganda yang baharu dan boleh diterima oleh masyarakat penutur sekarang. Istilah tersebut merupakan bahasa pasar yang boleh menjadi barah jika tidak dibendung.


Pesanan
Gunakanlah  bahasa Melayu dengan betul. 'Cintailah Bahasa Kita'!




Perhatikan entri yang digunakan oleh penulis blog ini...




farah :)

Rabu, 27 Mac 2013

Keras gedegaq

MINGGU 4 (3)


Buat pertama kali saya mendengar perkataan 'keras gedegaq' ialah semasa menonton persembahan teater tradisional 'Mek Mulung Putera Cahaya Bulan'. Pelakon teater tradisional tersebut menggunakan istilah ini untuk menyatakan hasrat hatinya bahawa sikap kawannya yang sangat ego.

Perkataan 'keras gedegaq' merupakan salah satu daripada dialek Kedah. Maksudnya adalah untuk menyatakan sesuatu yang sangat keras sama ada dari segi fizikal mahupun sikap individu yang tidak mendengar pendapat.




farah :)

Selasa, 26 Mac 2013

Mek dan Mat

MINGGU 4 (2)


Jika di kampung, saya dikenali sebagai 'Mek Farah'. Mek merupakan kata ganti nama bagi golongan wanita di tempat saya. Bagi golongan lelaki pula, mereka digelar sebagai 'Mat'. Jadi, tidak timbul masalah untuk memulakan perbualan dengan seseorang yang tidak dikenali. Golongan wanita akan digelar 'Mek' manakala golongan lelaki akan digelar 'Mat'.

Jika seseorang itu bernama  Nabil. Dia akan digelar 'Mat Nabil' (lelaki)
Jika seseorang itu bernama Farah. Dia akan digelar 'Mek Farah' (wanita)

Kesimpulannya, kata ganti nama 'Mek dan Mat' merupakan kata ganti nama untuk panggilan mesra. Individu yang tidak biasa dengan keadaan ini akan berasa pelik dan tidak biasa untuk dirinya digelar sedemikian. Bagi penduduk atau masyarakat setempat, panggilan tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.





farah :)

Isnin, 25 Mac 2013

Mek Mulung


MINGGU 4 (1)

Mek Mulung merupakan teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri Kedah. Mek Mulung merupakan adunan kesenian yang menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan.

Pada awalnya, saya beranggapan teater ini berasal dari negeri Kelantan. Hakikatnya, teater tradisional ini berasal dari Kedah. Keadaan ini disedari setelah mendengar dan meneliti loghat keseluruhan  yang digunakan oleh para pelakon teater 'Putera Cahaya Bulan' di Panggung Budaya, UPSI pada 22 Mac 2013 yang lalu. Secara keseluruhannya, teater ini amat menarik dan tidak membosankan. Tambahan pula, loghat yang digunakan ialah loghat Kedah. Memandangkan saya merupakan anak Kedah, saya memahami keseluruhan cerita ini dengan baik.

Persepsi pertama saya sebelum menonton persembahan teater ini ialah teater ini berasal dari negeri 'Cik Siti Wan Kembang' atau Kelantan. Istilah 'Mek' lazimnya ada kaitan dengan kaum wanita. Saya mengaitkan istilah  'Mek' ini dengan cerita 'Cik Siti Wan Kembang'. Tambahan pula, tajuknya yang berjudul 'Putera Cahaya Bulan'. Cahaya Bulan berkemungkinan ada kaitannya dengan Pantai Cahaya Bulan di negeri Kelantan. Jika sebelum ini, saya hanya pernah mendengar teater tradisional seperti 'Main Puteri' dan 'Ulit Mayang', tetapi setelah menonton teater Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' , pengetahuan saya tentang teater tradisional Melayu bertambah. Malah, saya berasa berminat untuk menonton teater tradisional yang lain jika diberi kesempatan.

Yang pasti, persembahan kesenian teater tradisional Mek Mulung mampu menarik generasi baru untuk menghayati keunikan dan keindahan jati diri serta tamadun rakyat Malaysia.

Info
Dikatakan Mek Mulung berasal dari Legor, Siam. Kemudian, diperkenalkan di Kedah ketika berlakunya persengketaan Kedah-Siam. Tempat mula-mula ia diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya teater ini berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.





farah :)

Jumaat, 22 Mac 2013

Sedekah atau penghargaan?

MINGGU 3 (5)

Jika seseorang berniat untuk memberi wang atau sesuatu yang berharga kepada individu lain, apakah istilah yang paling sesuai diungkapkan untuk menyatakan hasrat hatinya? Pernahkah anda terfikir perasaan orang yang menerima hadiah atau pemberian tersebut?


Jika kita mendapat hadiah atau wang semasa zaman kanak-kanak, sudah semestinya kita menerimanya dengan hati yang terbuka. Kita tidak kisah cara sesorang itu atau khususnya orang dewasa memberikan sesuatu kepada kita. Yang penting, setelah mendapat sesuatu, kita pasti akan menghargainya dengan ucapan 'terima kasih' kepada orang tersebut. Kita akan menerimanya dengan tersenyum lebar.


Namun, perkara yang menjadi persoalan di minda saya ialah adakah istilah 'sedekah' sesuai digunakan untuk menghargai seseorang khususnya untuk menghargai orang yang lebih tua daripada kita?

Contohnya;

Aisyah    :  Mak cik, ambil la duit ni...Saya sedekah kepada mak cik kerana sudi menjahitkan baju kurung saya.

Makcik    : Err...tak pe la Aisyah. Simpan saja duit kamu.


atau



Aisyah    : Mak cik, ambil la duit ni...Tanda penghargaan saya kepada mak cik kerana sudi menolong menjahitkan baju kurung saya.

Makcik    : Baiklah (sambil tersenyum)


Kesimpulannya, sebelum berbicara, seseorang harus berfikir dahulu agar tidak menyinggung perasaan orang lain. Istilah 'sedekah' dan 'penghargaan' masing-masing membawa tafsiran makna yang berbeza bagi seseorang.


farah :)











Khamis, 21 Mac 2013

Kata penguat : giler

MINGGU 3 (4)


Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Imbuhan ter- apabila bergabung dengan kata adjektif seperti cantik (tercantik), pandai (terpandai), tinggi (tertinggi) membawa maksud 'paling' berfungsi sebagai kata penguat.

Walau bagaimanapun, masyarakat kini gemar menggunakan kata penguat 'giler'. Contohnya dapat dilihat seperti di bawah;

i)  cantik giler
ii)  pandai giler
iii) tinggi giler





Contoh ayat : Merak putih 'cantik giler'
-Kata penguat 'giler' menunjukkan burung merak putih sangat cantik.


farah :)


Rabu, 20 Mac 2013

Pengkid





MINGGU 3 (3)





Pada hujung minggu yang lalu, semasa saya berada dalam monorel menuju ke Jalan Imbi, saya telah terserempak dengan dua orang golongan 'pengkid' . Saya telah terdengar perbualan salah seorang pengkid tersebut menjawab panggilan telefon. Dialognya dapat dilihat seperti di bawah;


Pengkid  : Woi, babi...ko katne? aku on the way ni...


Begitukah cara yang terbaik bagi golongan mereka memulakan perbualan telefon? Mereka bukan sahaja menggunakan bahasa rojak yang menyebabkan pencemaran bahasa malah menggunakan bahasa kasar dan tidak beradab. Mereka bukan sahaja mengalami masalah kecelaruan identiti seperti berpakaian seperti lelaki malah mengamalkan pergaulan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang gadis. Tiada lagi ciri-ciri gadis Melayu yang boleh dibanggakan seperti mengamalkan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa.


farah :)


Selasa, 19 Mac 2013

Budi bahasa budaya kita

MINGGU 3 (2)

Situasi 
Menaiki bas dari Tg. Malim ke Kuala Lumpur, bas dua tingkat!

Saya              :  Pak cik, tempat duduk nombor empat puluh dua di tingkat atas ke bawah?

Pemandu bas :  Alahhh... duduk jela mana-mana pun. Mengada-ngada. Camni ke cikgu?

Saya              : Hah! Salah ke tanya? (dalam hati) Tak boleh ke pak cik ni jawab elok-elok?



Pesanan buat pak cik,

Saya tidak tahu mungkin pak cik tertekan atau mempunyai masalah dalam fikiran pak cik. TAPI, bukankah budi bahasa itu budaya kita. Tidak salah rasanya jikalau pak cik menjawab soalan saya dengan baik.



farah :)


Isnin, 18 Mac 2013

Niat baik, tapi bukan begitu caranya...

MINGGU 3 (1)


Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan telah pergi ke Universiti Malaya untuk bertemu dengan rakan sekolah saya yang belajar di Universiti Malaya. Berikutan jarak antara perhentian bas dengan kolej kediaman terlalu jauh, kami mengambil keputusan untuk menaiki bas. Semasa kami berada di perhentian bas, sebuah kereta telah berhenti untuk menumpangkan kami ke kolej kediaman rakan saya. Walau bagaimanapun, rakan saya telah menolak ajakan pemandu kereta tersebut untuk menumpangkan kami. Pada mulanya saya berasa hairan sebab rakan saya menolak ajakan pemandu tersebut dan akhirnya saya mengetahui sebab rakan saya bertindak sedemikian. Perhatikan dialog antara pemandu kereta dan rakan saya;


Pemandu kereta : Nak tumpang ke?
Rakan saya        : Tak pe la, terima kasih.


Setelah kereta itu beredar, rakan saya mengomel meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemandu kereta tersebut. Menurut rakan saya, walaupun niat pemandu kereta itu baik, namun pemandu tersebut tidak sepatutnya menanyakan soalan 'nak tumpang ke?'. Apakah jawapan yang seharusnya dijawab oleh rakan saya? Pemandu kereta tersebut seharusnya mengajak kami untuk menumpang keretanya dengan menggunakan ayat yang lebih baik seperti di bawah;


Pemandu kereta : Mai la tumpang... (loghat Kedah) atau
Pemandu kereta : Mari tumpang kereta saya...


Kesimpulannya, sebelum berbicara kita haruslah berfikir dahulu. Jadikan budi bahasa sebagai  amalan kita semua. Walaupun niat kita baik, sekiranya kita tidak pandai tutur bicara secara sopan, kita tetap mengguris perasaan orang di sekeliling kita.


farah :)


Jumaat, 15 Mac 2013

Walit dan Walid

MINGGU 2 (5)

Adakah anda pernah mendengar nama sejenis burung iaitu 'walit'? Burung walit juga dikenali sebagai burung layang-layang. Sebelum ini, saya pernah mendengar nama sejenis produk iaitu Walit Gold. Walau bagaimanapun, setelah menonton drama 'Walit Walid' di TV2, saya telah mendapat kosa kata baharu iaitu 'walit' yang merupakan nama lain bagi burung layang-layang.





# Info #

Sejak dulu lagi, khasiat sarang-sarang burung layang-layang atau walet didapati mempunyai dua nilai pemakanan tinggi yang sangat unik dan aktif iaitu faktor stimulasi mikrogenik. Kedua-dua faktor itu membantu merangsang sel dan penghasilan semula struktur sel badan, serta dikatakan menjadi punca utama penghasilan kulit yang muda, lembut, licin dan halus.


Selain membekalkan kecantikan pada kulit, sarang burung itu juga membuktikan ia sangat berkhasiat kerana mengandungi bahan yang boleh memberikan tenaga dan pemulihan dalaman, khasnya melancarkan sistem aliran darah dengan lebih lancar.



Penyelidikan saintifik moden mendapati ia mengandungi mineral kepekatan tinggi, protein aktif serta protein gelatin, sekali gus menjadikan ia produk kesihatan semula jadi yang tulen sekali gus bagus untuk semua peringkat usia.

Pengambilan sarang burung dalam jangka panjang adalah ketahanan terbaik terhadap penuaan, manakala unsur protein aktif dalam sarang burung turut merangsang pembesaran sel dalam sistem imunisasi, lantas menguatkan imuniti badan dalam melawan penyakit.

Sarang burung juga sesuai bagi wanita hamil kerana ia memberi faedah kepada ibu dan bayi. Ini amat jelas berikutan bayi yang dilahirkan akan memiliki kulit yang sangat cerah lagi halus, serta fungsi badan lebih kuat berbanding bayi lain dan ibu juga pulih lebih cepat selepas melahirkan.

Ekstrak sarang burung walet mampu membuatkan bahan-bahan aktif yang terkandung mudah menyerap jauh ke dalam lapisan kulit untuk membaikpulih struktur epidermis, menebalkan kulit dan menyamar garisan halus serta kedutan selain membekalkan keanjalan jangka masa panjang pada wajah.





Harga sarang burung walit;

Bergantung kepada gred dan jenis sarang
Harga pasaran tempatan 1kg = RM4,500.00- RM6,500.00
Pasaran dunia 1kg = 6,000.00- RM12,000.00
Harga tertinggi = RM12,000.00- RM24,000.00

Jika perkataan 'walit' bermakna sejenis burung lain pula makna bagi perkataan 'walid'. Makna perkataan 'walid' ialah bapa atau ayah. 

walit - burung
walid - bapa / ayah

Keadaan ini menunjukkan betapa uniknya bahasa Melayu. Walaupun bunyinya seakan-akan sama namun mambawa makna yang berbeza. 


KataTakrifSumber
walidbp ayah, bapa: perkahwinan kita mendapat restu ~, dan telah berlangsung dua puluh tahun genap.Kamus Dewan Edisi Emp

farah :)




Khamis, 14 Mac 2013

Goreng pisang atau pisang goreng?

MINGGU 2 (4)

Perhatikan dialog di bawah;


Mak cik, bagi goreng pisang RM1! @ Mak cik, bagi pisang goreng RM1!

- Jika anda perhatikan sebenarnya terdapat kesalahan bahasa berkenaan dialog di atas. Bagi sesetengah orang yang tidak pernah belajar atau mengetahui apa itu hukum D-M, tentu sekali mereka tidak mengambil kisah sama ada menggunakan istilah 'pisang goreng' atau 'goreng pisang'. Yang penting 'pisang goreng' atau 'goreng pisang' tersebut sedap untuk dimakan. Walau bagaimanapun, penggunaan 'goreng pisang' adalah salah sama sekali dalam bahasa Melayu. Kesalahan penggunaan frasa ini dapat dilihat pada sudut hukum
 D-M. Hukum ini adalah satu sifat susunan kata di dalam bahasa Melayu yang berbeza dengan bahasa Inggeris. D melambangkan 'yang diterangkan' manakala M ialah 'yang menerangkan'. Menurut hukum D-M iaitu, D ( kata yang diterang harus didahulukan dan diikuti oleh kata yang menerang). Oleh itu, sesuatu yang ingin diterangkan harus mendahului perkara yang mahu menerangkan. Contohnya ialah seperti di bawah;

i)  pisang goreng
ii)  pisang emas
iii) pisang tanduk










farah :)




Rabu, 13 Mac 2013

Teng-teng atau jengkek?

MINGGU 2 (3)

Siapa antara pembaca yang biasa bermain 'teng-teng' semasa zaman kanak-kanak? Jika di negeri saya, permainan 'teng-teng' dikenali sebagai 'jengkek'. Istilah 'jengkek' berasal daripada perkataan 'terjungkit' atau menggunakan hanya sebelah kaki semasa bermain permainan ini. 

Permainan Teng-Teng, atau juga dikenali sebagai Ketinting ialah permainan yang selalunya dimain oleh kanak-kanak perempuan. Ini kerana, teng-teng tidak begitu lasak walaupun ia menggunakan tenaga yang banyak. Teng-teng juga tidak memerlukan daerah yang besar. Teng-teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak dimana ada dua hingga empat orang didalam sebuah gelanggang. Ini kerana, tiada peraturan yang tetap untuk jumlah orang di dalam satu gelanggang. Tetapi, jika terdapat empat pemain didalam satu gelanggang, ia akan mendatangkan kesukaran untuk setiap pemain untuk berteng-teng. Gelanggang teng-teng ialah lukisan petak-petak di atas tanah. Terdapat sembilan petak-petak di dalam satu gelanggang. Selain gelanggang, pemain juga perlu gundu. Masyarakat di Kedah pula menggelarnya sebagai 'buah'. Gundu ialah satu objek yang menandakan kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.



                                     



Sebelum permainan dimulakan, pemain harus mengundi siapa yang akan pergi dahulu dan seterusnya. Kaedahnya ialah menggunakan lai lai li tam plongUntuk memulakan permainan, pemain pertama harus mancampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak. Ini akan berlaku dengan sama untuk pemain yang lain. Jika gundu tidak dapat masuk ke dalam petak, giliran pemain itu dianggap mati dan pemain seterusnya yang akan mengambil alih. Pemain dikehendaki melompat ke dalam petak-petak dengan menggunakan satu kaki sahaja, tetapi jika ada petak yang bersebelahan dengan petak yang lain, pemain harus melompat ke dalam petak tersebut denga menggunakan kedua kaki mereka. Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, mereka harus memijak kaki kanan mereka ke petak kedua dan petak keempat akan dipijak oleh kaki kiri mereka. Setelah itu, pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga denga menggunakan sebelah kaki dan seterusnya, gundu harus dikutip di petak pertama. Pemain, untuk menghabiskan giliran mereka, harus melompat balik ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.

farah :)


Selasa, 12 Mac 2013

Janji Melayu?


MINGGU 2 (2)

Janji Melayu?

Janji merupakan salah satu perkara biasa dalam kehidupan seorang insan. Manusia melafazkan sesuatu janji semudah menyebut A, B, C. Janji juga dilabelkan dengan beberapa frasa atau gelaran khusus seperti 'janji Melayu' dan sebagainya. Malangnya, kebanyakan manusia kerap mungkir janji sekerap ia berbicara. Mengapakah terjadinya fonemena ini. Masyarakat Melayu sinonim dengan sikap yang tidak menepati masa. Oleh itu, istilah janji Melayu muncul dalam kalangan masyarakat di Malaysia.


Janji Melayu

- Tidak menepati masa

Jika berjanji untuk berjumpa pada pukul 9 pagi, individu akan hadir jam 9.30 pagi. Sikap tidak tepati masa seharusnya dielakkan. Kemajuan masa tidak akan dapat dicapai sekiranya masyarakat tidak menepati janji. Masa itu ibarat emas. Janganlah kita mengorbankan masa orang lain kerana sikap kita yang tidak menepati janji.


Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar. Menunaikan janji adalah tanggungjawab insan. Adalah menjadi satu kesalahan dan berdosa besar jika janji dimungkiri. Allah telah memasukkan kesalahan mungkir janji sebagai dosa besar yang perlu dijauhi. Ia juga termasuk dalam kategori ciri-ciri orang munafik.




farah :)

Isnin, 11 Mac 2013

Kata alu-aluan atau kata aluan?

MINGGU 2 (1)

Assalamualaikum,

Sebenarnya, saya musykil perbezaan antara 'kata alu-aluan' dan 'kata aluan'...

Lebih menarik lagi, penggunaan 'kata alu-aluan' dan 'kata aluan' mempunyai kisah yang tersendiri semasa saya berada di Tingkatan Enam. Kebetulan salah seorang rakan sekelas saya bernama 'Alwan'. Nak dijadikan cerita, suatu hari guru bahasa Melayu saya telah mengajar karangan yang menggunakan 'kata alu-aluan'.

Ketika itu, saya tidak memberi tumpuan semasa guru bahasa Melayu saya mengajar. Saya menjadi konfius dengan pengajaran guru pada hari itu kerana tidak dapat membezakan antara 'kata alu-aluan' dengan 'kata alwan'. Kebetulan rakan-rakan sekelas menyebutnya sebagai 'kata-kata aluan'

Terdapat perbezaan makna antara 'kata alu-aluan' dan 'kata aluan'. Contohnya dapat dilihat seperti di bawah;


#Info#

kata alu-aluanucapan (kata­kata) sbg menyambut kedatangan seseorang ke sesuatu majlis dsb (penerbitan sesebuah buku dsb);http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kata-kata+aluan


kata iringankata aluan (pendahuluan, pengantar) pd buku dll;




farah :)

Jumaat, 8 Mac 2013

Ketaq lutut...

MINGGU 1 (5)

Memandangkan rumah saya berada di tingkat empat, Kolej Ungku Omar, Proton City...

Situasi :

Minggu pertama: Aduh, penatnya naik tangga!


Minggu kedua    : Yeay, guna strategi baru la untuk naik tangga. Macam ni...mula-mula, naik sampai tingkat dua kemudian jalan terus melalui koridor dan baru sambung perjalanan naik tangga dari tingkat dua hingga tingkat empat.



Minggu ketiga    : Sudah tidak penat untuk naik tangga untuk sampai ke rumah di tingkat empat. Mungkin kerana sudah biasa dan jantung saya pun sudah mula menerima keadaan ini setelah berlatih setiap hari untuk naik tangga.



Akhirnya, dah tak ketaq lutut bila sampai rumah (mengeluh dalam hati versi loghat kedah)




Beza 'ketak lutut' dan 'ketaq lutut'













Ketak 

1 Bahagian rambut yg berombak-ombak atau beralun-alun; keriting. 2 kedut atau kerut pd dahi, kulit dll. 3 bahagian badan lipan dll yg bergelang-gelang. berketak 1 berombak-ombak (ttg rambut dll); beralun-alun; berkeriting. 2 berkedut-kedut (spt kulit pd leher). mengetakkan menjadikan berketak: ~ rambut mengeritingkan rambut.


Ketar

Terketar-ketar menggeletar (kerana takut dll); menggigil





Lutut

Sendi kaki yg menghubungkan paha dgn betis. pelipatan ~ lekuk di belakang lutut. tempurung ~ tulang bulat di sebelah hadapan lutut. berlutut, melutut 1 duduk di atas lutut (tanpa mencecahkan punggung ke lantai); bertelut. 2 ki menyerah; tunduk.





Info : 'Ketar' dalam dialek Kedah disebut sebagai 'ketaq'



Kesimpulannya, sebutan bagi istilah 'ketak lutut' dan 'ketaq lutut' membawa makna yang berbeza. Untuk

pengetahuan semua, 'ketaq lutut' berasal daripada dialek Kedah. Jika diteliti, masyarakat negeri Kedah menyebutnya sebagai 'ketaq lutut' dan bukannya 'ketak lutut'. Bagi golongan yang baru mempelajari dialek Kedah, mungkin sukar bagi anda untuk menyebutnya dengan betul!


farah :)



Khamis, 7 Mac 2013

Makna 'tertomoih'

MINGGU 1 (4)


Untuk pengetahuan semua, perkataan 'tertomoih' merupakan berasal daripada loghat Kedah atau utara.

Situasi :

"...tengah dok bawak moto elok-elok, depa tertomoih...qheta mai langgaq depa dari belakang tiba-tiba di Ipoh"... Begitulah cerita yang disampaikan oleh pensyarah media saya. Keadaan kuliah menjadi ceria seketika dipenuhi gelak tawa para mahasiswa. Boleh dikatakan hampir keseluruhan mahasiswa ketawa semasa dalam kuliah Media dalam Pengajaran Bahasa Melayu oleh Dr. Hj. Ab. Rahman bin Ab. Rashid. Namun, masih terdapat pelajar yang terpinga-pinga kerana mereka tidak memahami maksud 'tertomoih' tersebut.

Info:  Dr. Hj. Ab. Rahman bin Ab. Rashid merupakan anak kelahiran negeri Kedah. Maka tidak hairanlah beliau telah tersasul menggunakan dialek utara iaitu 'tertomoih' semasa kuliah berlangsung.


Tertomoih
Maksud: Terjatuh atau tersungkur!





Pesanan: Hati-hati di jalan raya!


farah :)

Rabu, 6 Mac 2013

'Sekerat ular, sekerat belut'?

MINGGU 1 (3)



Isu 'bahasa rojak' dan 'lagu rojak' kembali mendapat tempat di  media massa, khususnya surat khabar. Sebelum ini, isu bahasa rojak , iaitu bahasa Melayu dicampur aduk dengan bahasa lain dikaitkan dengan nama drama dan filem, tetapi kini dikaitkan pula dengan lirik lagu. Isu lagu rojak, walaupun pada pandangan sesetengah orang merupakan isu yang kecil dan remeh, jika terus dibiarkan tanpa kawalan boleh menjadi 'barah' dan merosakkan bahasa Melayu.




Perhatikan penggunaan bahasa dalam lirik lagu di bawah:





Be mine - Tasha Manshahar
Bermula di Facebook
You IM I dulu tak tahu malu
I malas nak layan
So I buat tak tahu
You terus cuba dan mencuba
Sehingga I jatuh cinta
Gatalnya diri you
Membuat I terjatuh
Bila kita dah start mengada
Kita selalu keluar sama
Borak panjang panjang
Makan dan tengok wayang
Sikit sikit je I merajuk
You selalu sabar pujuk
Tapi sebenarnya
I cuma test you saja
Let me tell you that I love you
And I never wanna wrong you
Take my hand baby
Come, go through with me
Let me tell you that I miss you
And I never wanna lose you
You’re my heart baby
My life is incomplete without you
Dalam pada I gembira
Sometimes I feel so sad juga
Cause you dah berpunya
But I always want you to be mine forever
Please be mine 


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan iaitu YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata:
``Kebanyakan kita di Malaysia berbahasa Melayu sekerat belut, sekerat ular iaitu sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris,'' katanya.

Kesimpulannya, bahasa rojak ialah campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Maka lahirlah istilah 'Manglish' .

bahasa Melayu+English= Manglish!


farah :)


Selasa, 5 Mac 2013

'Acar' vs 'acaq'

MINGGU 1 (2)


Istilah 'acar' dan 'acaq' membawa maksud yang berbeza... 

 1) 'Acar' atau acar timun seperti di bawah;


      

2) 'Acaq' atau 'ayaq acaq' merujuk kepada air longkang yang busuk dan bertakung seperti dibawah;


  

Yang jelas, terdapat perbezaan makna 'acar' dan 'acaq'. Acar merupakan sejenis makanan manakala acaq merujuk kepada air longkang yang busuk dan bertakung. Oleh itu, harus berhati-hati untuk meniru dialek orang utara atau Kedah khususnya bagi mereka yang baru belajar mengenali dan memahami dialek utara.


farah :)

Isnin, 4 Mac 2013

Mak nyah?

MINGGU 1 (1)


Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut tentang entri pertama saya yang bertajuk 'mak nyah', saya ingin bertanya kepada anda...apakah yang terbayang di minda anda tentang golongan ini?emmm...


   

Alkisah...mak nyah,

Mak nyah juga dikenali sebagai pondan, bapuk atau darai merupakan istilah yang merujuk bagi golongan lelaki transeksual, yakni mereka yang mempunyai biologi lelaki tetapi mendakwa mempunyai naluri wanita. Golongan ini sering menggunakan istilah "terperangkap dalam tubuh yang salah" atau "wanita dilahirkan transeksual".  Fenomena lelaki lembut ini sudah lama berlaku khususnya di negara Barat. Mereka bebas untuk menjalankan kegiatan mereka. Sekiranya kegiatan mereka ini dihalang atau disekat, golongan ini akan memberontak, kononnya hak asasi mereka telah dicabuli.

Baiklah, sebenarnya saya ingin megulas sedikit tentang kata ganti nama diri yang digunakan oleh golongan mak nyah. Sebelum itu, kita perhatikan, kata ganti nama ialah seperti di bawah;



SITUASI

1) Lelaki pertama : kacak dan bergaya
2) Lelaki kedua     : gemuk dan selekeh


Dialog antara dua orang mak nyah :



Mak nyah 1: Emm... comelnya dia... ( merujuk kepada lelaki pertama) taste sangat...nampak lesung pipit dia...geramlah mak.

Mak nyah 2: Isyyy... lemaslah tengok jantan tu...( merujuk kepada lelaki kedua) konfiden ek ketawa kuat-kuat, walaupun gigi bersepah...geli nyah.


Kesimpulannya, kata ganti nama diri pertama bagi golongan mak nyah menggunakan istilah 'mak' iaitu, merujuk kepada diri sendiri manakala kata ganti nama diri kedua pula, mereka menggunakan istilah 'nyah'




farah :)